Sabtu, 22 November 2014

Mitos Tentang Mata (1)

Mata Anugerah Tuhan

Mata adalah sejenis organ yang sangat unik. Maha Suci Allah yang menjadikan mata ini dengan penciptaan yang tiada bandingannya. Jika diteliti akan penciptaan mata ini, akan bertambahlah rasa kagum dan iman kita terhadap Allah S.W.T. Malah segala penciptaan Allah yang lain jika di amati sebagaimana Allah menjadikan setiap planet-planet di alam semesta yang beredar mengikut orbit masing-masing tanpa ada yang mendahului yang lain, maka akan lahirlah keinsafan dalam diri bahawa diri ini sangat kerdil ibarat semut hitam di tengah-tengah padang pasir yang sangat luas. Firman Allah S.W.T :

لَا ٱلشَّمۡسُ يَنۢبَغِى لَهَآ أَن تُدۡرِكَ ٱلۡقَمَرَ وَلَا ٱلَّيۡلُ سَابِقُ ٱلنَّہَارِ‌ۚ وَكُلٌّ۬ فِى فَلَكٍ۬ يَسۡبَحُونَ

Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing ( Surah Yasin Ayat 40)

Mitos tentang Mata



“Jangan duduk dekat dengan tv, nanti cepat rabun”

Kenyataan ini selalu kita dengar dari mulut orang-orang tua yang menasihati mereka, terutama kanak-kanak yang menonton televisyen pada jarak yang dekat agar menjauhkan diri sedikit dari televisyen tersebut kerana dikhuatiri akan menjejaskan penglihatan. Namun, apakah kenyataan ini benar?

Jawapannya adalah tidak. Kenyataan ini sebenarnya tidak benar sama sekali. Menurut Dr. Lee Duffner yang merupakan seorang doktor mata di  American Academy of Ophthalmology, menyatakan bahawa menonton televisyen terlalu lama atau pada jarak yang dekat sebenarnya tidak memberi kesan buruk pada kadar penglihatan atau pada fizikal mata itu sendiri. Namun, apa yang berlaku adalah otot-otot yang terdapat pada mata menjadi penat  ataupun eyestrain of the muscle of the eyes disebabkan kerja yang berlebihan yang dilakukan oleh otot-otot tersebut ketika menonton televisyen.
Jadi, apakah faktor-faktor yang menyebabkan seseorang menjadi rabun jauh ataupun  rabun dekat? Bagi menjawab persoalan ini, perlulah kembali kepada ilmu asas berkenaan mata iaitu ilmu ophthalmology yang kebiasaannya dipelajari oleh pelajar yang mengambil jurusan perubatan atau sains kesihatan. Dicatatkan di dalam buku teks Ophthalmology 2011-2012, Fakulti Perubatan Unversiti Iskandariah, antara sebab berlakunya masalah rabun jauh atau dekat adalah disebabkan perubahan pada dua faktor yang berkait rapat dengan mata iaitu:
  1.       Panjang bola mata  (Axial length)
  2.             Kuasa biasan kornea dan lensa mata(Power of the cornea and crystalline lens) yang dipengaruhi pula oleh dua komponen iaitu kelengkungan kornea (corneal curvature) dan indeks pembiasan.(Refractive indices)

Formula untuk memahami permasalahan ini:

  •  Apabila kelengkungan kornea meningkat, maka kuasa biasan oleh kornea dan lensa mata akan meningkat dan sebaliknya
  •   Apabila indeks pembiasan (yang dipengaruhi oleh beberapa faktor lagi) meningkat, maka kuasa biasan oleh kornea dan lensa mata akan meningkat juga dan sebaliknya.

Jadi, apabila  bola mata menjadi panjang lebih daripada yang biasa ataupun kuasa biasan oleh kornea dan lensa mata meningkat, biasan gambar yang sepatutnya terkena pada lapisan retina (lapisan yang akan menghantar rangsangan gambar tersebut ke otak) akan terbias lebih awal dan ini yang mana situasi ini dalam istilah perubatan digelar sebagai Myopia dalam istilah perubatan atupun rabun jauh. (Rujuk rajah di bawah.)


Sebaliknya, apabila panjang bola mata berkurang dari yang biasa ataupun kuasa biasan oleh kornea dan lensa menurun, maka biasan gambar yang seharusnya terkena pada lapisan retina akan terbias dibahagian belakang retina. Keadaan ini disebut sebagai hypermetropia atupun rabun jauh. (Rujuk rajah dibawah)

 

Kesimpulannya menonton televisyen pada jarak yang dekat atau membaca buku pada lampu yang malap atau selalu menggunakan komputer riba dalam masa yang lama tidak akan menyebabkan kemerosotan pada penglihatan kerana perkara-perkara tersebut bukanlah faktor penyebab. Namun, seandainya terjadi masalah penglihatan dalam situasi begini, maka berkemungkinan besar terdapat faktor lain yang bertindak sebagai penyebab. Wallahualam.


Rujukan.

 Debra Ronca, Is too much TV really bad for your eyes?28 October 2014

Ophthalmology Textbook, Faculty of Medicine of Alexandria University, 2011-2012

Selasa, 28 Oktober 2014

Mata itu Otak?


Mata Anugerah Tuhan

Mata adalah sejenis organ yang sangat unik. Maha Suci Allah yang menjadikan mata ini dengan penciptaan yang tiada bandingannya. Jika diteliti akan penciptaan mata ini, akan bertambahlah rasa kagum dan iman kita terhadap Allah S.W.T. Malah segala penciptaan Allah yang lain jika di amati sebagaimana Allah menjadikan setiap planet-planet di alam semesta yang beredar mengikut orbit masing-masing tanpa ada yang mendahului yang lain, maka akan lahirlah keinsafan dalam diri bahawa diri ini sangat kerdil ibarat semut merah di tengah-tengah padang pasir yang sangat luas. Firman Allah S.W.T :

لَا ٱلشَّمۡسُ يَنۢبَغِى لَهَآ أَن تُدۡرِكَ ٱلۡقَمَرَ وَلَا ٱلَّيۡلُ سَابِقُ ٱلنَّہَارِ‌ۚ وَكُلٌّ۬ فِى فَلَكٍ۬ يَسۡبَحُونَ

Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing ( Surah Yasin Ayat 40)

Mata adalah sebahagian daripada otak?

Mata adalah satu daripada pancaindera yang digunakan untuk melihat. Tidak kira manusia,  haiwan ataupun ikan-ikan di lautan hampir kesemuanya menggunakan mata untuk melihat kecuali beberapa spesis haiwan atau ikan. Contohnya seperti ikan Typhleotris iaitu sejenis ikan air tawar yang hidup di Madagascar yang tidak mempunyai mata. Namun jika dipelajari lagi secara mendalam tentang mata, kita akan mendapati bahawasanya mata sebenarnya adalah sebahagian daripada otak. Bagaimana? Mari kita saksikan rajah di sebelah.



Rajah ini menunjukkan horizontal section sebahagian otak dan juga beberapa komponen mata. Cahaya yang datang akan terkena pada lapisan retina di bahagian dalam mata. Kemudiannya rangsangan terhadap cahaya itu akan menghasilkan signal atau impulse yang akan melalui laluan-laluannya yang tertentu dari  optic nerve, optic chiasma, optic tract. Sebahagian akan ke batang otak (brain stem) dan sebahagian lagi akan ke bahagian belakang otak ataupun occipital lobes yang berfungsi dengan  mengawal, menganalisa dan mengenal pasti objek yang dilihat oleh mata.

Secara ringkas dan dalam erti kata yang lain, mata mempunyai hubungan yang terus dengan otak. Sebab itulah jika seseorang mengalami kecederaan trauma di bahagian belakang kepala boleh menyebabkan kehilangan penglihatan samada kekal ataupun sementara. Begitu juga dengan kebanyakan penyakit yang berlaku di otak akan dimanifestasikan pada mata.

Sebagai contoh, seseorang yang mengalami ketumbuhan,(tumor) pada brain stem atau batang otak yang berkemungkinan akan mencederakan 3rd cranial nerve,(saraf yang mengawal kebanyakan otot-otot di mata) akan mengalami mata juling atau kegagalan untuk mengawal pergerakan mata (squint) akibat kelumpuhan otot-otot tersebut. Bukti lain yang menyatakan mata adalah sebahagian daripada otak boleh dilihat pada lapisan-lapisan yang membaluti saraf mata atau optic nerve adalah lapisan yang sama yang membaluti otak. Mari rujuk rajah di bawah.
Rajah 1

   

Rajah 1 menunjukkan lapisan yang membaluti optic nerve dan rajah 2 pula menunjukkan lapisan yang membaluti otak.

Rajah 2
Sangat jelas di sini bahawa lapisan yang membaluti otak (meninges) dan optic nerve adalah lapisan yang  sama iaitu lapisan dura mater, lapisan arachnoid dan lapisan pia mater. Meninges ini mempunyai banyak fungsi yang penting terhadap otak seperti melindungi otak daripada kecederaan akibat sebab yang pelbagai. Persamaan dari segi lapisan-lapisan yang membaluti otak dan optic nerve ini secara tidak langsung menguatkan lagi kenyataan bahawasanya mata adalah sebahagian daripada otak. Wallahualam

.







Rujukan.

 Debra Ronca, Is too much TV really bad for your eyes?28 October 2014Diambil daripada http://health.howstuffworks.com/human-body/systems/eye/tv-bad-for-eyes.htm

Ophthalmology Textbook, Faculty of Medicine of Alexandria University, 2011-2012

You'll Go Blind: Does Watching Television Close-Up Really Harm Eyesight?, January 27, 2010, Diambil dari http://www.scientificamerican.com/article/earth-talk-tv-eyesight/

Wraige E, Chandler C, Pohl KR. Idiopathic intracranial hypertension: is papilloedema inevitable? Arch Dis Child. 2002 Sep; 87(3):223-4.




Jumaat, 9 Mei 2014

Minum air banyak adalah Bahaya?

Minum air terlalu banyak adalah berbahaya untuk kesihatan.
Pelik tapi Benar.
Kata pakar, kenyataan ini adalah benar dan tidak. Jika anda seorang yg aktif bersukan, sentiasa berpeluh dan 'dehydrated' maka ianya tidak benar utk anda kerana badan anda memang perlukan air yg banyak mengikut keperluan anda.(tapi masih ada perbincangan yg panjang berkenaan ini) Namun jika anda seorang yang jarang bersukan atau mempunyai gaya hidup yg "mandom" bak kata org Kedah, ianyanya benar. Mampu membahayakan kesihatan anda. Kerana apa?
Baca di bawah.
Apabila air diminum dengan kadar yang terlalu banyak melebihi keperluan badan, makanya akhirnya akan menyebabkan berlakunya satu keadaan yg dinamakan Hyponatremia
Hyponatremia bermaksud " garam(sodium) yang tidak mencukupi dalam darah. " Secara kuantitatif, ia bermakna mempunyai kepekatan garam(natrium) dalam darah di bawah 135 millimoles bagi satu liter atau kira-kira 0.4 auns setiap gelen, kepekatan normal berada di antara 135 dan 145 millimoles seliter. Kes yang teruk hyponatremia boleh membawa kepada mabuk air , suatu penyakit yang gejala termasuk sakit kepala, keletihan, loya , muntah, kerap membuang air kecil dan kekeliruan mental.
Pada manusia, buah pinggang mengawal jumlah air, garam dan bahan larut lain meninggalkan badan dengan penapisan di darah melalui "nephron" . Apabila seseorang minum air terlalu banyak dalam tempoh yang singkat ini ianya akan memberi beban yang lebih kepada buah pinggang. Buah pinggang tidak boleh mengepam keluar cukup pantas dan darah menjadi berair atau "diluted". Perlu diingatkan bahawa buah pinggang bukanlah seperti paip. Buah pinggang ada kuantiti atau tahapnya yg tertentu utk menapis air. Maka, air yang berlebihan meninggalkan darah dan akhirnya memasuki sel-sel yang mempunyai kuantiti air yg lebih sedikit dan akan menyebabkan sel-sel membengkak seperti belon (edema).
Kebanyakan sel mempunyai ruang untuk merenggang kerana mereka tertanam dalam tisu yg fleksibel seperti sel-sel lemak dan otot Tetapi ini tidak berlaku pada neuron. Sel-sel otak dibungkus di dalam ruangan tulang yang tegar, keras iaitu tengkorak. Ruang dalam tengkorak adalah terbatas dan mereka perlu berkongsi ruang ini dengan darah dan cecair serebrospina.(CSF) "Edema" adalah berbahaya jika ianya berlaku di otak. Dr. Wolfgang Liedtke , seorang neuroscientist klinikal di Pusat Perubatan Universiti Duke. "Di dalam tengkorak boleh dikatakan hampir tiada langsung ruang utk membolehkan ia berkembang dan membengkak, " katanya.
.
" Hyponatremia" yang pantas dan teruk menyebabkan kemasukan air ke dalam sel-sel otak yang membawa kepada bengkak otak(brain sweilling), yang boleh mengakibatkan sawan(seizure), koma, henti pernafasan(respiratory distress) , batang otak herniasi (brain stem herniation) dan kematian, " jelas M. Amin Arnaout , ketua Nefrologi di Massachusetts General Hospital dan Harvard Medical School.
Maka, pasti akan tertanya-tanya apakah kadar air yg sesuai untuk diminum. Kata pakar, minum apabila anda rasa dahaga. Itulah penanda yang terbaik. Namun jika anda kerap dahaga, mgkn anda mempunyai diabetes. Buatlah pemeriksaaan kesihatan.
Islam telah mengajarkan kita sikap bersederhana. maka dalam "habit" minum ini pun perlulah bersederhana dan mengikut keperluan.
Rujukan.
Allahumma soli ala Muhammad.



Khamis, 6 Mac 2014

Air Asas Kehidupan


Dalam surah al Anbiya ayat 30, Allah berfirman:

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?"

Maka di sini ingin menekankan pada ayat "Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?"


Pernah tak kita terfikir kenapa Allah menyatakan air? Bukan benda lain seperti udara (Oksigen)?

Dalam kitab al i`jaz al`alami fil bahr wa hayawanat karangan Yusuf Ahmad Al Hajj, diterangkan beberapa sebab dgn mengambil kira kajian saintifik

1.Hari ini kajian menunjukkan bahawa "water is the basis of life". Tanpa air, tidak akan ada hidupan yg dapat hidup dari sekecil makhluk seperti virus yg perlu dilihat dengan mikroskop sehinggalah sebesar makhluk di alam ini. Walaupun komposisi air dalam hidupan berbeza-beza mengikut habitat dan jenis hidupan tersebut, air adalah satu keperluan. Sebagai contoh manusia hanya dapat hidup tanpa air kemungkinan dalam seminggu tetapi unta dapat hidup tanpa air dalam jangka masa yang lama memandangkan unta mampu menyimpan air dalam bonggolnya. Tetapi kedua-duanya memerlukan air.

2. Dari sudut biologi, air mempunyai fungsi yang sangat penting kerana segala proses metabolik dan tindak balas kimia dalam sel memerlukan air untuk tujuan tersebut. Air juga pelarut yang terbaik dan ianya "essential for transfer of nutrient dan waste product" dan tanpa nutrisi, segala kehidupan akan mati akhirnya.

3. Dari sudut ciri-ciri fizikal pula, air mempunyai ciri-ciri yg unik tidak seperti cecair yang lain yang ada di atas muka bumi ini. Semua cecair yg ada dalam dunia ini, apabila bertukar dari cecair kepada pepejal dan akan meningkat ketumpatannya dan menjadi berat. Tetapi tidak pada air. Allah yang Maha Hebat memperlihatkan ciri-ciri ini apabila air mencapai suhu 4 darjah celcius, ia akan bertukar menjadi ais, menjadi besar tetapi ketumpatannya berkurang dan menjadi ringan. Inilah yang menjadikan ais terapung dan bergerak di laut dan tasik yang beku. Sekiranya ianya berat, ia akan tenggelam dan membunuh hidupan di dalam air.

4. Sekalipun pada udara atau oksigen yang kita bernafas ini pun secara saintifiknya juga berasal dari air ataupun dalam erti kata yang lain air adalah komponen yang penting. Seperti yang semua sudah sedia maklum, oksigen terhasil daripada proses fotosintesis tumbuh-tumbuhan. Tanpa memanjangkan lagi perbincangan kita, mari kita lihat bersama di mana fungsi air dalam fotosinstesis.





"The general equation for photosynthesis is therefore:
2n CO2 + 2n DH2 + photons → 2(CH2O)n + 2n DO
Carbon dioxide + electron donor + light energy → carbohydrate + oxidized electron donor

In oxygenic photosynthesis water is the electron donor and, since its hydrolysis releases oxygen, the equation for this process is:
2n CO2 + 4n H2O + photons → 2(CH2O)n + 2n O2 + 2n H2O
carbon dioxide + water + light energy → carbohydrate + oxygen + water

Often 2n water molecules are cancelled on both sides, yielding:
2n CO2 + 2n H2O + photons → 2(CH2O)n + 2n O2
carbon dioxide + water + light energy → carbohydrate + oxygen"

Melalui persamaan ini, kita boleh lihat kedudukan air (H20) di tengah-tengah persamaan ini. Bayangkan jika tiada H20 di situ, adakah proses ini akan lengkap dan oksigen akan terhasil?
Apakah kita akan dapat hidup?

Oleh itu, Allah azza wa jal tidak berfirman bahawa "Dan Kami jadikan dari udara(oksigen), tiap-tiap benda yang hidup? Tetapi Allah berfirman bahawa
"Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup?"

Maka ini menjadi petanda bagi kita orang yg beriman.

Allah Berfirman:

وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِلْمُوقِنِينَ

"Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin"

Surah Ad dzariyat ayat 20

Wallahu alam.

rujukan

1.Al Quran al karim
2. al i`jaz al`alami fil bahr wa hayawanat karangan Yusuf Ahmad Al Hajj
3. http://en.wikipedia.org/wiki/Photosynthesis
4. http://adventure.howstuffworks.com/survival/wilderness/live-without-food-and-water2.htm

Rabu, 12 Februari 2014

Fiqh Musafir

SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG

WUDHU ATAU TAYAMMUM ATAS FLIGHT?

Wudhu tiada masalah untuk disempurnakan menggunakan air di atas kapalterbang, tayammum juga tidak perlu kerana wujudnya air dan tandas kecil yang boleh digunakan bagi penyempurnaan Wudhu. Apa yang perlu dilakukan adalah gunakan cawan kecil plastik minum sebagai bekas air wudhu, dan berwudhulah sesempurna yang boleh di dalam tandas itu.

Tiada alasan untuk bertayammum di dinding kapalterbang atau kerusi atau hanya sekadar solat hormat waktu kerana tiada wudhu.

Allah swt menyebut yang ertinya:

"Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun." ( An-Nisa : 43 )


ARAH KIBLAH UNTUK SOLAT

Berbekalkan kompas kiblah, urusan penentuan arah menjadi lebih mudah dan meyakinkan.

Arah kiblah mungkin boleh dilihat melalui panduan Airline yang kita naikki (jika ada disediakan) atau melalui cara melihat arah halaan Kapalterbang.

Sejurus kita dapati kapalterbang sedang berhadapan dengan Mekah (Ka’abah), maka boleh terus menunaikan solat secara duduk menghadap hadapan.


MASALAH MEMBELAKANGKAN KIBLAH

Cuma sedikit masalah akan timbul ketika ingin solat ketika kapalterbang membelakangkan Mekah.

Namun tidak ditolak, adakalanya kapalterbang akan sedikit membelok ke kanan dan kiri. Justeru, caranya adalah apabila tiba waktu solat, perhati peta kedudukan kapalterbang yang disediakan. Melalui cara itu, kita boleh mengagak arah mana yang perlu kita solat.

Jika kedudukan Mekah terlalu menghadap ke belakang secara 100%, dan solat secara duduk untuk menghadapnya sangat tidak mengizinkan, kita boleh meminta izin pramugara/i untuk menggunakan mana-mana ruang yang sesuai.

Namun, jika arah Mekah hanya memerlukan menoleh 90 darjah kanan atau kiri, masih boleh ditunaikan solat di atas tempat duduk, iaitu dengan cara mengangkat sebelah kaki di letakkan di atas kerusi dan badan dihalakan ke tepi kanan atau kiri setakat yang diperlukan. Apa yang penting adalah ketika takbir permulaan dada kita berada tepat menghadap arah yang dikehendaki, pergerakan kapalterbang selepas itu tidak lagi perlu dihiraukan.


PENENTUAN WAKTU ATAS FLIGHT

Contoh: Solat Subuh (perjalanan dari Dubai ke Malaysia)

Kaedah untuk menentukan masuk waktu Subuh adalah mengikut kiraan Dubai (tempat ketika itu). Sekiranya kita akan berlepas dari Dubai pada jam 03.15 pagi iaitu satu setengah jam sebelum Subuh di Dubai, dan waktu Subuh di Dubai adalah 4.48 pagi, maka caranya seperti berikut:

Jika melihat kepada peta dunia, jika sebuah flight berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, dalam tempoh satu jam setengah, kapal terbang itu akan berada di atas Indian Ocean. Maka waktu solat Subuh di tengah lautan itu boleh mengikut tanah yang terdekat dengannya, iaitu Oman atau mungkin juga Karachi.

Setelah disemak, waktu Subuh bagi Oman adalah pada jam 4.46 pagi (waktu Oman adalah sama dengan Dubai) manakala Karachi pada jam 5.55 pagi.  

Namun setakat ini jika yakin kapalterbang akan lebih dekat dengan ruang waktu Oman, justeru subuh dalam waktunya sama ada waktu Oman atau Karachi.





SOLAT KETIKA MUSAFIR

Semasa bermusafir, kita sepatutnya menjama'kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.


SOLAT QASAR

Solat secara qosar ini dilakukan pada solat-solat fardhu yang empat rakaat dipendekkan kepada dua rakaat. Ia dilakukan pada solat Zuhur, Asar, dan Isyak. Antara dalil yang mengharuskan solat qosar ini adalah berdasarkan daripada surah an-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud:

 “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa kamu mengqasarkan dari solat kamu.” (An-Nisa’:101)

Berikut pula syarat untuk men"qasar"kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-

        i.            Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.
      ii.            Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.
    iii.            Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat.
    iv.            Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).
      v.            Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.
    vi.            Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bersmusafir dari awal hingga akhirnya.
  vii.            Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu.
Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalam tempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.


SOLAT JAMA’

Solat jama' pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama' solat :-

        i.            Jama' tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama' kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)

      ii.            Solat jama' boleh dilakukan dalam dua bentuk :-


Pertama : JAMA' TAQDIM

Ertinya :
Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib.
Ia berdasarkan hadith  shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.

Syarat-syaratnya :

1)           Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )

2)           Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lafaz niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.

3)           Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.


Kedua : JAMA’ TAKHIR

Ertinya :
Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)

Syarat-syaratnya :

1)      Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)

2)       Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.


Contoh niat bagi solat qasar adalah seperti berikut (Solat Zohor) :
 
Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar kerana Allah taala.


HAL-HAL YANG BERKENAAN DENGAN JAMA' DAN QASAR

 
Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah maka ia harus melakukan solat qasar dan jama' sekali. Ertinya ia boleh menjama'kan di antara dua solat dan mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut :

 
Menjama'kan dua solat fardhu tanpa qasar

Menjama'kan dua solat fardhu dan qasar

Terdapat 2 kaedah yang boleh digunakan melalui cara ini :
 
Niat Jama' Taqdim dan Qasar :

i.
Solat Zohor dan Asar.


Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala


Mengerjakannya dengan azan dan diiringi iqamat. Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi tanpa menangguhkan (kecuali mengambil wuduk) dan berniat pula seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala


ii.
Solat Maghrib dan Isya'


 
Sengaja aku solat fardhu Magrib tiga rakaat serta di jama'kan ke dalamnya Isya' kerana Allah Taala


Solat maghrib tidak boleh diqasarkan. Cara melaksanakan jamak taqdim maghrib - isya' sama dengna niat jama' taqdim zuhur-asar. setelah memberi salam kemudian bangun dan iqamat dan berniat seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala




Niat Jama' Takhir dan Qasar:



i.
Solat Zohor dan Asar


Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala


ii.
Solat Maghrib dan Isya'


Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat dijama'kan dengan isya' tunai kerana Allah Taala.


Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala