Khamis, 11 Oktober 2012

Mutiara Kata Syeikh Usamah Al Azhary



SEBAHAGIAN NOTA YANG DIPETIK DARI DAURAH DR. SHEIKH USAMAH AL AZHARY


   
Semasa Allah SWT menurunkan wahyu iaitu Al Qur'an Al Karim dan Al Quran merupakan hidayah Allah kepada manusia. Al Qur'an merupakan khulasah atau ringkasan kepada semua ilmu dan merupakan sumber hidayah.

Antara ilmu-ilmu yang terkandung dalam Al Quran Al Karim:
a) Aqidah
b) Hukum-hakam
c) Kisah-kisah
d) Akhlak dan budi pekerti
e) Perundangan
f) Perihal jiwa
g) Kemasyarakatan dan sebagainya.


Al Quran Al Karim merupakan sumber segala ilmu yang terkandung di dalamnya pelbagai jenis ilmu seperti yang telah disebut di atas. Sheikh membawa perumpamaan Al Quran ibarat prisma (المنشور الثلاثي) yang apabila dimasukkan cahaya maka akan keluar warna-warna yang tujuh (hebatnya sheikh sampai masuk dalam bab sains). Al Quran AL Karim merupakan gedung ilmu dan pelbagai mustolah dan makna-makna yang luas yang terkandung dalam ayat-ayat Al Quran. Kemudian di samping Al Quran ada As Sunnah An Nabawiyah.

Sheikh memberitahu juga malah mengingatkan antara perkara yang paling penting ialah kaedah memahami (مناهج الفهم) ini adalah sangat penting kerana dengan cara kefahaman yang betul makna-makna setiap ayat dalam Al Quran itu akan sentiasa terpelihara sepertimana ketika wahyu diturunkan oleh Allah kepada baginda SAW dan kefahaman itu jugalah yang oleh para sahabat baginda SAW. Maka kita wajib mengetahui bagaimana para sahabat memahami wahyu yang disampaikan baginda SAW dan bagaimana Rasulullah SAW mengajar mereka untuk memahami nas.

Kemudian sheikh membawa dua contoh (namuzaj) kaedah kefahaman nas seperti yang disebut dalam soheh Bukhary oleh Al Imam Al Bukhary rahimahullah.

Contoh pertama:

Bagaimana sahabat mula bertanya tentang firman Allah:

الَّذِينَ آمَنُواْ وَلَمْ يَلْبِسُواْ إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ

Mereka yang beriman itu tidak campur adukkan imannya dengan kezaliman (Al An'am:82)

Sahabat merasa berat dengan mengatakan siapa dari kita yang tak melakukan kezaliman? Kemudian baginda SAW bersabda: Tidak, bukan maksud zalim seperti yang kamu sangka, tetapi ianya adalah seperti kata Luqman kepada anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Apabila berkata Luqman kepada anaknya dan dia menasihatinya wahai anakku yang disayangi janganlah kamu mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) sesungguhnya ia adalah kezaliman yang sangat besar (Luqman: 13)

Maka sheikh menjelaskan lagi cuba kita lihat bagaimana kekasih kita Rasulullah SAW menerangkan kepada sahabat perkataan zalim di dalam ayat di atas bukan bermakna kezaliman seperti yang difahami oleh orang Arab maka baginda menjelaskan maksud zalim dalam ayat tersebut.

Sheikh berkata lagi bahawa adalah sangat penting untuk kita memahami bagaimana para sahabat memahami wahyu yang diturunkan kepada baginda dan bagaimana baginda mengajar para sahabat memahami wahyu sehingga setelah baginda wafat lahirlah golongan rijal yang kefahaman mereka dalam Al Quran dan As Sunnah melalui nabi SAW sudah sampai ke tahap yang dikehendaki baginda SAW.

Contoh kedua:

Kemudian sheikh membawa contoh kedua daripada soheh Al Bukhary juga ketika turunnya wahyu firman Allah dalam surah Al Baqarah tentang ayat puasa:

حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْر

Sehingga jelas kepada kamu benang putih dari benang hitam iaitu waktu fajar (Al Baqarah: 187)

Maka berkata sahabat baginda U'dai bin Hatim RA wahai Rasulullah adakah aku jadikan di bawah bantal aku dua Eqal (tali yang digunakan Arab untuk ikat unta) satu berwarna putih dan satu berwarna hitam kemudian aku boleh tahu siang dan malam? Kemudian baginda SAW menjawab: Sesungguhnya bantal engkau itu tidak berubah keadaannya, sesungguhnya yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) ialah kegelapan malam dan kecerahan waktu pagi.

Maksud ayat di atas ialah kita dibolehkan makan dan minum pada waktu malam hari di bulan Ramadhan sehingga masuk waktu fajar waktu mulanya diharamkan makan dan minum dan waktu fajar yang dimaksudkan ialah fajar sodeq yang kelihatan satu cahaya putih di langit yang masih gelap.

Maka baginda SAW mengajar para sahabat bagaimana memahami wahyu dan mereka ada kemusykilan mereka bertanya kepada baginda SAW. Di sinilah peranan ilmu Usul Fiqh iaitu dengan ilmu ini seseorang faqeh mampu memahami nas samada Al Quran atau Hadith dengan kefahaman yang dikehendaki Allah dan Rasul SAW agar kita tidak salah faham yang akan membawa kepada salah tafsir dan boleh membawa kepada kesesatan.

Sheikh menerangkan juga bahawa ilmu Usul Feqh ini menukarkan Al Quran Al Kareem itu kepada pelbagai konsep kefahaman, manhaj-manhaj (cara-cara) praktikal. Sheikh memberitahu lagi bahawa tinggalan baginda SAW terdiri dari dua komponen utama iaitu:
a) Nas-nas Al Al Quran dan As Sunnah (Hadith)
b) Kaedah memahami nas-nas Al Qur'an dan As Sunnah (yang ulama memetiknya dari hadith-hadith baginda SAW)

Hubungan kedua-dua komponen di atas adalah sangat penting untuk memahami nas-nas syarak dan itu yang diperlukan oleh seorang faqeh dan mujtahid untuk melayakkan mereka mengistinbat (mengeluarkan) hukum hakam dan tafsiran nas Al Quran dan As Sunnah. Maka semua perkara yang kita sebutkan ini adalah sangat penting untuk mencapai kefahaman yang sebenar yang dikehendaki syarak iaitu kefahaman yang dikehendaki Allah dan Rasul.

Sheikh Usamah menyusun secara ringkas untuk memahami nas-nas dengan tiga kaedah:
a) Mengumpulkan dalil-dalil dan nas-nas (جمع الأدلة والنصوص)
b) Mengaitkan dan menggabungkan nas-nas dan dalil-dalil yang berkaitan (sheikh umpakan seperti kita bermain puzzle) – ( تركيب الأدلة )
c) Berusaha untuk memahami perbezaan lafaz-lafaz tertentu dalam Al Quran dan hadith atau apa yang dinamakan ilmu dilalah (دلالة الألفاظ).

Sheikh mengatakan bahawa hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali rahimahullah mengatakan: Ilmu dilalah ini adalah induk dan pegangan ilmu dan ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu Usul Feqh.

Sheikh menjelaskan lagi bahawa betapa hebatnya cara sahabat baginda SAW dalam memahami nas membuktikan bahawa kecerdikan dan kepandaian mereka dalam memahami nas-nas syarak. Maka berpindah kefahaman tersebut daripada sahabat RA kepada golongan tabi'en.

Maka datanglah Al Imam Abu Abdillah Muhammad bin Idris Ash Shafi'e (rahimahullah) mengumpul segala kaedah-kaedah memahami nas itu dalam sebuah surat yang diminta oleh Sheikhul Hadith pada zamannya Abdul Rahman ibnu Mahdi (rahimahullah) maka tulislah Al Imam Ash Shafi'e surat tersebut maka dinamakannya '' Ar Risalah '' dan dalam kitab tersebutlah mengandungi segala kaedah dan peraturan memahami nas yang daripadanya ulama memetik dan meluaskan lagi ilmu Usul Fiqh ini.

Sheikh memberitahu lagi bahawa salinan asal ' Ar Risalah' ini telah hilang dan dijual sekitar tiga tahun lepas dan salinan asal itu begitu berharga kerana ianya ditulis pada zaman Imam Ash Shafi'e. Sheikh menegaskan lagi bahawa ilmu Usul Fiqh ini telah wujud sejak zaman sebelum Imam Ash Shafi'e rahimahullah lagi tetapi ianya belum ditulis secara rasmi dan belum dikumpulkan seperti usaha agung yang dilakukan oleh Al Imam Ash Shafi'e.

Maka kita dapat lihat betapa 'brilliant' Al Imam Ash Shafi'e sehingga boleh menyusun ilmu Usul Fiqh ini yang memberi faedah yang sangat besar kepada mujtahid dan ulama serta ummah selepas kewafatannya. Sheikh memaklumkan lagi bahawa kitab Ar Risalah ini disyarah oleh ulama tetapi kesemuanya hilang tak ditemui dan tidak sampai kepada kita.

Kemudian sheikh memberi maklumat berkenaan kitab-kitab Usul Fiqh yang utama iaitu:
a) المستصفى من علم الأصول oleh Al Imam Hujjatul Islam Al Ghazali (505H))0jH)
b) البرهان في أصول الفقه oleh Al Imam Al Haramain Al Juwayni (478H)
c) كتاب المعتمد في أصول الفقه oleh Abi Al Hasan Al Basri (436H)
d) العمد oleh Al Qadhi Abdul Jabbar Al Mu'tazili (415H)

Kitab-kitab lain yang disebutkan oleh sheikh telah saya postkan dalam post sebelum ini boleh rujuk semula di sana.

Kemudian sheikh memberitahu bahawa kekal sistem ilmu Usul Fiqh itu dengan tiga rukun asas:
a) Dalil-dalil Fiqh yang ijmal (أدلة الفقه الإجمالية)
b) Cara untuk mendapat istifadah daripada dalil-dalil (yang disebut dalam rukun pertama)
c) Keadaan mustafed (حال المستفيد)

Sheikh memberitahu lagi bahawa dalam Al Quran Al Kareem kita dapat lihat secara zahir hubungan antara Al Quran dengan baginda Nabi SAW sangat jelas dan dahsyat seperti yang digambarkan oleh Allah Taala dalam firmannya :

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ

Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menurunkan ke atas hambanya (Muhammad) Al Kitab (Al Quran Al Kareem) (Al Kahf:1)

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الكِتَابَ الذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا

Kemudian kami jadikan Al Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami (Fathir: 32)

Jelas daripada ayat-ayat di atas bahawa hubungan yang sangat rapat antara Al Quran dan hamba-hamba Allah itu sheikh mengatakan ini adalah silsilah yang sangat penting dan boleh disimpulkan dengan gambaran silsilah berikut:

Al Qur'an ---> Hamba-hamba ---> Manhaj-manhaj memahami ---> Al Fiqh

Hamba-hamba yang dimaksudkan ialah para ulama. Betapa jelasnya hubungan ilmu dengan para ulama sehingga dalam hadith kita dapati dalam soheh Muslim meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

(( إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْتَزِعُ الْعِلْمَ مِنْ النَّاسِ انْتِزَاعًا وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعُلَمَاء ))

Seseungguhnya Allah tidak mencabut ilmu daripada manusia tetapi (Allah mencabutnya) dengan mematikan para ulama

Imam Ad Darimi dalam sunannya dalam bab perginya ilmu meriwayatkan dari Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda:

(( إن ذهاب العلم أن يذهب حملته ))

Sesungguhnya perginya ilmu itu dengan perginya (mati) orang yang memikulnya (ulama).

Jelas dari dua hadith di atas bahawa hubungan antara ulama dengan ilmu merupakan hubungan yang sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan sheikh membawa ibarat seperti hubungan anggota badan.

(akan bersambung) - Mohon sahabat2 tegur jika ada sebarang kesilapan jazakumullah kher