Rabu, 12 Februari 2014

Fiqh Musafir

SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG

WUDHU ATAU TAYAMMUM ATAS FLIGHT?

Wudhu tiada masalah untuk disempurnakan menggunakan air di atas kapalterbang, tayammum juga tidak perlu kerana wujudnya air dan tandas kecil yang boleh digunakan bagi penyempurnaan Wudhu. Apa yang perlu dilakukan adalah gunakan cawan kecil plastik minum sebagai bekas air wudhu, dan berwudhulah sesempurna yang boleh di dalam tandas itu.

Tiada alasan untuk bertayammum di dinding kapalterbang atau kerusi atau hanya sekadar solat hormat waktu kerana tiada wudhu.

Allah swt menyebut yang ertinya:

"Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun." ( An-Nisa : 43 )


ARAH KIBLAH UNTUK SOLAT

Berbekalkan kompas kiblah, urusan penentuan arah menjadi lebih mudah dan meyakinkan.

Arah kiblah mungkin boleh dilihat melalui panduan Airline yang kita naikki (jika ada disediakan) atau melalui cara melihat arah halaan Kapalterbang.

Sejurus kita dapati kapalterbang sedang berhadapan dengan Mekah (Ka’abah), maka boleh terus menunaikan solat secara duduk menghadap hadapan.


MASALAH MEMBELAKANGKAN KIBLAH

Cuma sedikit masalah akan timbul ketika ingin solat ketika kapalterbang membelakangkan Mekah.

Namun tidak ditolak, adakalanya kapalterbang akan sedikit membelok ke kanan dan kiri. Justeru, caranya adalah apabila tiba waktu solat, perhati peta kedudukan kapalterbang yang disediakan. Melalui cara itu, kita boleh mengagak arah mana yang perlu kita solat.

Jika kedudukan Mekah terlalu menghadap ke belakang secara 100%, dan solat secara duduk untuk menghadapnya sangat tidak mengizinkan, kita boleh meminta izin pramugara/i untuk menggunakan mana-mana ruang yang sesuai.

Namun, jika arah Mekah hanya memerlukan menoleh 90 darjah kanan atau kiri, masih boleh ditunaikan solat di atas tempat duduk, iaitu dengan cara mengangkat sebelah kaki di letakkan di atas kerusi dan badan dihalakan ke tepi kanan atau kiri setakat yang diperlukan. Apa yang penting adalah ketika takbir permulaan dada kita berada tepat menghadap arah yang dikehendaki, pergerakan kapalterbang selepas itu tidak lagi perlu dihiraukan.


PENENTUAN WAKTU ATAS FLIGHT

Contoh: Solat Subuh (perjalanan dari Dubai ke Malaysia)

Kaedah untuk menentukan masuk waktu Subuh adalah mengikut kiraan Dubai (tempat ketika itu). Sekiranya kita akan berlepas dari Dubai pada jam 03.15 pagi iaitu satu setengah jam sebelum Subuh di Dubai, dan waktu Subuh di Dubai adalah 4.48 pagi, maka caranya seperti berikut:

Jika melihat kepada peta dunia, jika sebuah flight berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, dalam tempoh satu jam setengah, kapal terbang itu akan berada di atas Indian Ocean. Maka waktu solat Subuh di tengah lautan itu boleh mengikut tanah yang terdekat dengannya, iaitu Oman atau mungkin juga Karachi.

Setelah disemak, waktu Subuh bagi Oman adalah pada jam 4.46 pagi (waktu Oman adalah sama dengan Dubai) manakala Karachi pada jam 5.55 pagi.  

Namun setakat ini jika yakin kapalterbang akan lebih dekat dengan ruang waktu Oman, justeru subuh dalam waktunya sama ada waktu Oman atau Karachi.





SOLAT KETIKA MUSAFIR

Semasa bermusafir, kita sepatutnya menjama'kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.


SOLAT QASAR

Solat secara qosar ini dilakukan pada solat-solat fardhu yang empat rakaat dipendekkan kepada dua rakaat. Ia dilakukan pada solat Zuhur, Asar, dan Isyak. Antara dalil yang mengharuskan solat qosar ini adalah berdasarkan daripada surah an-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud:

 “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa kamu mengqasarkan dari solat kamu.” (An-Nisa’:101)

Berikut pula syarat untuk men"qasar"kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-

        i.            Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.
      ii.            Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.
    iii.            Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat.
    iv.            Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).
      v.            Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.
    vi.            Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bersmusafir dari awal hingga akhirnya.
  vii.            Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu.
Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalam tempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.


SOLAT JAMA’

Solat jama' pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama' solat :-

        i.            Jama' tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama' kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)

      ii.            Solat jama' boleh dilakukan dalam dua bentuk :-


Pertama : JAMA' TAQDIM

Ertinya :
Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib.
Ia berdasarkan hadith  shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.

Syarat-syaratnya :

1)           Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )

2)           Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lafaz niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.

3)           Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.


Kedua : JAMA’ TAKHIR

Ertinya :
Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).
Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)

Syarat-syaratnya :

1)      Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)

2)       Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.


Contoh niat bagi solat qasar adalah seperti berikut (Solat Zohor) :
 
Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar kerana Allah taala.


HAL-HAL YANG BERKENAAN DENGAN JAMA' DAN QASAR

 
Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah maka ia harus melakukan solat qasar dan jama' sekali. Ertinya ia boleh menjama'kan di antara dua solat dan mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut :

 
Menjama'kan dua solat fardhu tanpa qasar

Menjama'kan dua solat fardhu dan qasar

Terdapat 2 kaedah yang boleh digunakan melalui cara ini :
 
Niat Jama' Taqdim dan Qasar :

i.
Solat Zohor dan Asar.


Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala


Mengerjakannya dengan azan dan diiringi iqamat. Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi tanpa menangguhkan (kecuali mengambil wuduk) dan berniat pula seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala


ii.
Solat Maghrib dan Isya'


 
Sengaja aku solat fardhu Magrib tiga rakaat serta di jama'kan ke dalamnya Isya' kerana Allah Taala


Solat maghrib tidak boleh diqasarkan. Cara melaksanakan jamak taqdim maghrib - isya' sama dengna niat jama' taqdim zuhur-asar. setelah memberi salam kemudian bangun dan iqamat dan berniat seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala




Niat Jama' Takhir dan Qasar:



i.
Solat Zohor dan Asar


Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala


ii.
Solat Maghrib dan Isya'


Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat dijama'kan dengan isya' tunai kerana Allah Taala.


Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala