Hasil
kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap
gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap
kesihatan secara menyeluruh.
Berikut adalah beberapa hasil kajian yang telah
dilakukan berkaitan solat:
AKTIVITI OTOT - Profesor Dr Wan
Abu Bakar Wan Abas
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu
manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih
kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang
membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman
ringan.
"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika
solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari
menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan
fizikal tubuh," katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal
yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif
terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk
mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
ISYARAT OTAK - Ng Siew Chok
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila
otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas
elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala.
Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur
isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi
irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak
Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap
hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang
selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu
keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika
bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah
tomakninah," katanya.
Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara
mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan
penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang
itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu
dihadapinya dalam aktiviti harian.
KOMPOSISI TUBUH - Dr Fatimah
Ibrahim
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat
komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur
komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang
menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.
"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di
hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk
menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai
penyakit kritikal lain," katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan
komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima
kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan
betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan
tahyat akhir.
Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima
perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang
yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat
secara bersendirian.
"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang
melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika
bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya
meneutralkan cas tubuh.
"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada
yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas
positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas
negatif," katanya.
Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat
jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.
Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga
memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan
diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula
mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran
lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam
solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit
disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai
gerakan solat.
Beliau berkata, keputusan positif itu adalah
berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di
tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang
mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah,
sakit pinggangnya berkurangan.
"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan
untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat
yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung.
Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama
seperti gerakan solat," katanya.
Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil
Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang
lelaki amat takut.
Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga
kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200
peratus.
"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar
(pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan
langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan
melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap
normal," katanya.
Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan
solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat
atau kira-kira 30 minit
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang
menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung
kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan
jantung paling rendah adalah ketika berbaring.
"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud
mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring.
Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan
dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh
merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu
kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan
senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30
minit setiap hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan