Firman Allah dalam surah Al Maidah, ayat 90:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
"Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menengok nasib dengan menggunakan anak panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya"
Contoh-contoh arak |
Sumber Arak
Arak adalah alkohol dalam berbentuk ethyl alcohol dan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan sering kali menyebabkan ketagihan. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau yeast cells yang bertindak ke atas karbohidrat yang terdapat di dalam buah-buahan dan biji-bijian. Dalam pasaran, ada 3 jenis arak yang popular:-
- Bir yang diperbuat daripada biji-bijian dan mengandungi 2-6 peratus alkohol
- Wain yang diperbuat daripada buah-buahan dan mengandungi 11-14 peratus alkohol
- Liquor yang dihasilkan dengan memeram ataupun mendidihkan bahan makanan sehingga menjadi arak dan ia mengandungi 40-50 peratus alkohol
Alkohol dan Kesannya
Apabila seseorang meminum alkohol, ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak itu sebelum mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, hilang ingatan dan seumpamanya. Pengambilan 2 hingga 3 gelas sudah cukup untuk seseorang tidak stabil dari segi pemikirannya. Ketagihan arak memberi kesan negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat. Pengambilannya dalam jangka masa yang panjang boleh menyebabkan kerosakan otak buat selama-lamanya. Di samping itu juga, ia boleh menyebabkan sakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, radang, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan Di Amerika saja terdapat 10-15 juta penagih arak dan daripada jumlah itu, 4.5 juta adalah dari kalangan remaja. Jumlah kematian pula dengan purata 100,000 orang setiap tahun.
Arak baik untuk jantung? Benarkah?
Ramai pakar-pakar perubatan berpendapat, arak apabila diminum dengan kadar yang sedikit, bermanfaat bagi jantung. Oleh itu, ramai pakar dalam bidang kardiologi menggalakkan masyarakat untuk minum 1-2 gelas sehari supaya kesihatan jantung mereka terpelihara.
Namun, Dr James H. Stein, seorang pakar jantung. Penolong Professor di Fakulti Perubatan di Universiti Wisconsin, mempunyai pandangan yang berbeza. Dalam tulisannya yang diterbitkan oleh Milwaukee Journal Sentinel bertarikh 25 November 1998, beliau berkata, "Ramai pesakit dan pakar perubatan mahu mempercayai arak adalah penawar ajaib yang mampu menyelamatkan jantung kita. Sayang sekali hakikatnya tidaklah seperti yang difikirkan, kerana alkohol sebenarnya merosakkan jantung dengan cara melemahkan otot-ototnya, mengganggu cara jantung mengepam darah dan menaikkan tekanan darah. Tambahan daripada itu, alkohol merosakan hati, menyebabkan radang pankreas, kanser esofagus dan perut.
Walaupun kenyataan ini mempunyai kebenarannya, kerana pengambilan alkohol yang sedikit menambahkan kolesterol baik (HDL) di dalam darah, namun ia hanyalah benar bagi wain merah atau red wine dan bukannya bir ataupun spirit. Sebenarnya, bukan alkohol yang menyihatkan jantung. Sebaliknya bahan flavonoid yang terdapat di dalamnya yang menguatkan jantung. Bahan flavonoid ini diperoleh daripada buah-buahan yang digunakan untuk membuat arak. Jadi, kajian-kajian ini telah membuktikan kebenaran firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 219:
"Dan mereka bertanya kamu tentang arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada keburukan dan kebaikan, namun, keburukannya adalah lebih besar."
Jadi apabila dilihat akan mafsadah yang lebih besar daripada kebaikan yang datang daripada kesan-kesan meminum arak ini, maka adalah memang bertepatan dengan syariat Islam yang mengharamkannya. Maka dengan ini, jauhkanlah diri kita daripada arak dan sekutunya kerana ianya akan membawa kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan